Posts Tagged ‘kitblogger’
3 Konsep Asas Setiap Perniagaan
Salam Aidilfitri kepada rakan-rakan dan pelawat blog gajisendiri.com. Bagaimana dengan sambutan Aidilfitri anda ? Saya harap lebaran kali ini disambut dengan perasaan girang dan penuh dengan kesyukuran.
Baiklah, dalam post kali ni saya ingin berkongsi 3 konsep asas dalam setiap perniagaan dengan anda. Konsep-konsep ini adalah perkara yang perlu ada dalam setiap perniagaan. Apatah lagi jika perniagaan tersebut merupakan perniagaan yang berjaya, anda akan dapati yang 3 konsep ini pasti diamalkan dalam perniagaan tersebut.
Konsep ini juga boleh diaplikasikan dalam setiap perniagaan, lebih-lebih lagi dalam bisnes internet yang anda jalankan. Konsep ini juga dikenali sebagai konsep 3P dalam perniagaan, dan perkara ini akan diterangkan dibawah.
#1: Masalah (Problems)
Hampir setiap perniagaan adalah berdasarkan kepada masalah. Masalah di sini bukanlah bererti masalah yang besar ataupun masalah yang tidak boleh diselesaikan. Masalah yang dimaksudkan adalah masalah seharian yang boleh diselesaikan dengan cara menyediakan jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.
Sebagai contoh, wabak H1N1 merupakan satu masalah yang dihadapi oleh ramai orang. Jadi, segelintir pihak melihat keadaan ini sebagai satu peluang perniagaan yang tidak boleh dilepaskan. Jadi, mereka menyediakan topeng muka sebagai jalan penyelesaian kepada wabak influenza H1N1 ini.
#2: Manusia (People)
Manusia juga merupakan satu komponen kepada perniagaan dan ianya merupakan antara teras yang penting dalam menjadikan perniagaan anda, satu bisnes yang berjaya.
Walaupun anda menjalankan perniagaan yang berkait rapat dengan haiwan peliharaan, anda tetap berurusan dengan tuan punya haiwan peliharaan tersebut dan contoh ini jelas menunjukkan bahawa manusia(People) ini merupakan salah satu perkara asas yang perlu ada dalam setiap perniagaan.
#3: Produk (Product)
Produk atau output yang anda niagakan merupakan komponen ketiga yang perlu ada dalam setiap perniagaan. Produk boleh dibahagikan kepada beberapa jenis mengikut perniagaan yang dijalankan seperti produk fizikal, digital, perkhidmatan dan lain-lain.
Sebagai contoh, kitblogger ini dihasilkan untuk memenuhi permintaan mereka yang berminat untuk membina dan mempunyai blog dot com sendiri. kitblogger ini merupakan produk yang bermutu tinggi dan tetap menjadi produk yang mendapat permintaan yang tinggi.
Produk(product) merupakan jalan penyelesaian kepada masalah(problem) yang dihadapi oleh manusia(people). Jika ada produk yang dihasilkan untuk menyelesaikan masalah-masalah manusia, bermakna ketiga-tiga konsep asas perniagaan ini telahpun diwujudkan di dalam perniagaan tersebut.
5 Cara Buat Duit Dengan Blog
Ramai di kalangan kita telah mempunyai blog dot com sendiri. Indikasi ini jelas menunjukkan bahawa telah ramai yang mahu menjana pendapatan melalui blog. Namun, masih ramai yang tidak mengetahui kaedah sebenar bagaimana kita boleh menjana pendapatan melalui blog.
Jadi, tulisan saya kali ini akan mengetengahkan 5 cara bagaimana anda boleh menjana pendapatan dengan blog. Sebelum itu, pastikan blog anda telah dioptimisasikan dengan menambah beberapa plugin yang sesuai.
1. Buat Duit Dengan Program Affiliate
Anda boleh menjana pendapatan melalui blog anda dengan menyertai program-program affiliate yang terdapat di internet. Apa itu affiliate ? Secara mudahnya, affiliate adalah rakan pemasaran di internet.
Jika di alam realiti, affiliate ini boleh diibaratkan sebagai pegawai pemasaran ataupun jurujual. Anda boleh menyertai program affiliate, tetapi pastikan program affiliate tersebut mempunyai tajuk atau topik yang sama dengan blog anda.
Sebagai contoh, jika blog anda berkenaan dengan teknik menguasai adobe photoshop, maka anda boleh menyertai program affiliate yang berkaitan dengan gambar, grafik laman web ataupun servis design laman web.
Ini kerana, pelawat yang datang ke blog anda kebanyakannya berkeinginan untuk mendalami teknik membuat grafik yang cantik. Jika anda meletakkan iklan daripada program affiliate dalam kategori yang sama, potensi untuk anda mendapat komisyen adalah tinggi.
2. Buat Duit Dengan Servis Dan Perkhidmatan
Melalui blog anda, anda sebenarnya berpeluang menjana pendapatan dengan memberikan servis dan perkhidmatan tertentu kepada pelanggan. Antara kelebihan menawarkan servis di blog anda ialah, perniagaan jenis ini tidak memerlukan stok, sebaliknya hanya memerlukan kebolehan anda selaku pihak yang menawarkan servis.
Sebagai contoh, rakan saya menggunakan blognya untuk menjalankan servis pengesahan akaun paypal menggunakan virtual kredit card(VCC). Ada juga yang menjalankan servis design tema blog sebagai punca pendapatan dari blog mereka.
3. Buat Duit Dengan Menjual Produk Sendiri
Blog anda mempunyai potensi yang besar sebagai tempat untuk anda menjual produk sendiri. Sekiranya anda mempunyai produk untuk dijual, tidak kira produk digital atau produk fizikal, anda boleh menggunakan blog anda sebagai tempat menjual produk tersebut.
Namun, ada pendapat yang mengatakan blog hanya sesuai untuk menjana trafik ke laman perniagaan anda. Menurut pendapat ini, minisite lebih sesuai dijadikan laman web menjual produk, manakala blog pula bertindak sebagai pembawa trafik ke minisite tersebut.
4. Buat Duit Dengan Menawarkan Ruang Iklan
Jika blog anda mempunyai pelawat yang ramai setiap bulan, anda boleh mempertimbangkan untuk membuka ruang iklan di blog anda. Berkemungkinan, anda boleh meletakkan harga yang berpatutan terhadap iklan yang akan diletakkan di blog anda ini.
Tempoh sewaan boleh jadi seminggu, sebulan atau setahun, bergantung kepada perjanjian yang dimeterai oleh anda dan pengiklan tersebut. Saya sendiri pernah ditawarkan dengan nilai yang agak berpatutan untuk satu sewaan di ruang blog saya sebelum ini.
5. Buat Duit Dengan Pandangan Dan Ulasan
Teknik terakhir ini boleh diaplikasikan oleh anda, jika anda mempunyai kelebihan dalam bidang penulisan atau berminat untuk mengasah bakat anda dalam bidang penulisan. Dengan memberikan ulasan berkenaan dengan sesuatu produk atau perkhidmatan yang dilancarkan, anda mampu menjana pendapatan tambahan di internet.
Teknik ini akan menjadi lebih berkesan sekiranya produk yang anda ulas itu dicari oleh orang ramai yang melayari internet. Sekiranya anda berminat, antara laman-laman web yang menawarkan teknik ke-5 ini ialah payperpost.com, shvoong.com dan reviewme.com.
Diharapkan teknik-teknik di atas dapat membantu anda dalam menjana pendapatan melalui blog anda sendiri. 5 cara buat duit melalui blog ini telah membantu ramai usahawan internet menjana pendapatan di internet. Jadi, tidak mustahil anda juga boleh manjana pendapatan dengan cara yang sama seperti mereka. Jika usaha anda belum berhasil, cuba lagi dan usah cepat berputus asa. Apa pandangan anda berkenaan dengan 5 cara buat duit dengan blog ini ? Anda boleh kongsikan dengan kami di sini.
Mengatasi Error Permalink Wordpress
Semasa saya ingin menggantikan minisite di gajisendiri.com ini kepada blog, terdapat satu masalah yang saya hadapi dan penyelesaiannya saya ambil pendekatan try and error. Masalah ini adalah berkaitan dengan permalinks dan versi wordpress yang saya gunakan adalah versi 2.7.1.
Sudah agak lama saya tidak buat blog baru selepas blog pertama saya terbina pada awal 2007, jadi perasaan menjadi newbie tu datang kembali. Cuma tidaklah sekekok ketika pertama kali menghadap situasi ini.
Sehingga kini saya masih merujuk kepada kitblogger yang dihasilkan oleh saudara SmartZul. Panduan ini pada saya mudah difahami(bahasa tidak terlalu teknikal) dan sangat efektif dalam membantu anda membina blog sendiri, terutamanya untuk newbie. Cuma mungkin saya boleh tambah bagaimana untuk menyelesaikan masalah konfigurasi permalinks dalam post ini kerana kes error permalinks ini tiada dalam kit tersebut.
Mengatasi Masalah Error Permalinks Untuk Wordpress 2.7.1
- Setelah anda login, langkah pertama adalah anda perlu ke bahagian setting dan pilih bahagian permalinks.
- Kemudian, tandakan pada bahagian custom, dan pastikan ruangan yang perlu diisi adalah seperti dibawah. Bentuk permalink ini adalah bentuk yang paling efektif dalam memenangi SEO.
- Setelah anda menukar link seperti yang ditunjukkan dalam gambar di atas, langkah seterusnya adalah anda perlu simpan konfigurasi anda dengan klik pada butang save changes.
- Langkah ke-4 ini amat penting, di mana anda perlu uji keberkesanan bentuk link yang telah anda simpan tadi. Klik pada mana-mana post atau page yang anda hasilkan. Jika tiada masalah, tahniah dan jika error masih berlaku, anda perlu ke langkah seterusnya.
- Jika masalah error masih berlaku, anda perlu scroll ke bahagian bawah konfigurasi permalinks tadi dan anda akan nampak kod seperti di bawah ini. Salin semua kod yang ada disitu.
- Selepas itu anda perlu login ke dalam server anda melalui software FTP. Saya gunakan perisian FileZilla dan anda juga boleh menggunakan perisian FTP selain FileZilla.
- Di dalam folder public_html, anda perlu cari satu file yang bernama .htaccess. Download file ini dan anda boleh buka dengan menggunakan perisian PSPad.
- Setelah anda buka file .htaccess ini, delete semua link yang ada di dalamnya dan gantikan dengan kod yang anda dapat di bahagian ke 5 tadi.
- Save konfigurasi yang telah anda buat terhadap file tadi dan upload kembali ke dalam folder public_html.
- Selepas itu, cuba klik pada tajuk post anda atau muka surat yang ada di blog anda. Seharusnya masalah tadi dapat diselesaikan. InsyaALLAH.


